10 sebab melawat DubaiĀ
BUDAYA
Walaupun ramai yang menyangka budaya dan identiti masyarakat asal Dubai akan terhakis kerana memberi laluan kepada pemodenan, fikirkan semula. Platform toleransi yang sedia ada memudahkan komuniti dunia mengenali warisan dunia Arab dengan lebih terbuka.
REFLEKSI ZAMAN LAMPAU
Dubai masih kelihatan dalam beberapa urusan harian seperti perniagaan makanan dan rempah, sistem pengangkutan air hinggalah kepada seni bina rumah lama dengan menara angin. Jika berpeluang, lawatlah Sharjah untuk melihat suasana yang lebih tradisional dan konservatif. Selain itu, Muzium Dubai merumus semua budayanya dengan sempurna.
MEMBELI-BELAH
Pengalaman tersesat di Ibn Batuta Mall tidak menghalang penulis untuk menanam cita-cita mengunjungi lebih daripada 40 kompleks beli-belah yang bertaburan di seluruh Dubai , jika berpeluang kembali lagi ke sini.
Kunjungilah kompleks moden, souq dan juga butik yang mempamerkan pelbagai jenis barangan. Pastikan keuntungan menyebelahi anda dalam permainan tawar-menawar harga. Musim terbaik untuk tujuan membeli-belah ialah pada bulan Januari dan Februari kerana ketika itu Festival Beli-belah Dubai berlangsung.
PADANG PASIR
Tidak sempurna kunjungan anda jika tidak merasai pengalaman merentasi hamparan padang pasir dan dune. Ia merupakan kegemaran peribadi penulis. Tambahan pula, agensi pelancongan, Arabian Adventures, sangat cemerlang menjayakan aktiviti ini.
Siapa yang tidak seronok jika dibawa memandu mengikut laluan 12 kilometer yang bengkang-bengkok serta penuh kejutan pendakian merentas bukit dan lereng pasir peroi. Pengunjung juga dibawa melawat oasis yang menempatkan ternakan unta dan kambing. Pelajari budaya golongan Badwi di sini. Ekspedisi disudahi dengan makan malam di bawah sinaran bintang di tengah-tengah padang pasir selain dihiburkan oleh aksi penari gelek yang mengghairahkan!
MAKANAN
Selain mengkhianati aturan diet anda di rangkaian restoran mewah dengan standard antarabangsa, Dubai boleh memenuhi acara 'pesta perut' dengan pelbagai pilihan hidangan. Abaikan sahaja tentang kandungan kalori jika anda berselera menikmatinya.
Kebanyakan bahan-bahan masakannya diimport. Misalnya, daging kambing dari New Zealand, daging lembu dari Argentina dan rempah-ratus dari India. Perkara yang sama juga dilakukan kepada pekerjanya. Jika sebuah hotel membuka sebuah restoran Thai, ia akan menggajikan chef handalan dari Thailand.
Pertukaran ilmu masakan yang berlaku sejak zaman perdagangan dahulu telah menyaksikan Dubai memiliki seleksi hidangan hebat dengan himpunan kemahiran masakan Asia Timur, Asia Tengah dan juga Barat.
SENI BINA MODEN
Tidak seperti di Abu Dhabi yang semua bangunannya seolah-olah diwajibkan mempunyai ciri Islam seperti kubah dan gerbang, Dubai telah melangkah jauh dalam bidang seni bina. Ia menjadi tumpuan arkitek unggul dari seluruh dunia yang ingin sama-sama memainkan peranan dalam proses metamorfosis Dubai menjadi sebuah metropolis.
Kekayaan luar biasa Dubai menyaksikan binaan mengagumkan daripada konkrit, besi dan kaca telah tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kebanyakan arkitek didatangkan dari Eropah, Australia dan Asia Tengah termasuk dari UAE sendiri. Dubai memiliki satu-satunya hotel bertaraf tujuh bintang di dunia. Burj Al Arab berdiri megah seumpama ikon yang menerajui sektor perhotelan.
KESELAMATAN
Kestabilan politik, penguatkuasaan undang-undang serta persefahaman yang jelas terjalin antara orang awam dengan pihak berkuasa menjadikan Dubai sebuah negara yang selamat untuk dilawati, didiami serta menjalankan perniagaan. Kadar jenayah yang rendah juga adalah ganjaran besar untuk masyarakat yang ingin hidup dalam keadaan yang bebas, aman dan terlindung.
Penulis sendiri melihat bagaimana pemilik kenderaan meninggalkan kereta dalam keadaan tidak berkunci ketika membeli-belah sebentar di kedai. Pemandu pelancong kami juga berkata, rumahnya tidak pernah berkunci pada waktu malam ketika semua penghuni nyenyak tidur. Sukar untuk dipercayai!
LOKASI
Kedudukan Dubai yang terletak di tengah-tengah bentangan peta dunia menjadikan ia lokasi yang strategik. Hanya enam jam waktu penerbangan langsung dari Kuala Lumpur (jika tidak singgah di Dhaka). Tempoh yang lebih kurang sama juga diambil jika pelancong menaiki pesawat dari London.
Kata Timbalan Presiden Operasi Komersial untuk rantau Asia Timur dan Australasia, Emirates Airlines, Richard Vaughan, "Penerbangan kami membawakan pelancong Asia Timur untuk merasai pengalaman kehidupan moden ala Barat di Dubai tanpa mereka perlu merentas hingga ke Eropah dan Amerika, manakala pengunjung Barat dapat mengenali dunia Asia dengan hanya mengembara separuh sahaja jarak peta dunia."
Lokasi strategik ini juga menguntungkan Dubai kerana percampuran pelbagai unsur budaya yang mencerna peradaban kosmopolitan.
IKLIM
Cuaca panas kering juga membantu kelancaran pengembaraan safari gurun serta sesuai untuk aktiviti seperti ekspedisi pacuan empat roda, meluncur di tebing pasir, hinggalah kepada pengalaman menaiki unta. Penginapan terbaik bagi mereka yang menyukai iklim dan kehidupan di padang pasir ialah di Al Maha Desert Resort.
Tidak ketinggalan juga cuaca terik amat digemari oleh mereka yang belayar dengan kapal sama ada untuk memancing ikan laut dalam mahupun sekadar mengikuti persiaran eksklusif di Teluk Arab. Cuaca panas juga merupakan alasan terbaik untuk bermain air. Terik matahari sebenarnya menarik perhatian mereka yang mahu mendapatkan kulit yang tanned . Sama ada bersantai di tepi kolam renang hotel, berjemur di pantai Jumeirah atau berseronok di Taman Tema Air Wild Wadi, semuanya sedia menanti anda!
FESTIVAL
Selain festival membeli-belah, Dubai amat serius dalam mencipta acara tahunan untuk menarik kedatangan pelancong, lebih-lebih lagi ketika musim dingin yang bermula pada penghujung tahun. Januari hingga Mac merupakan masa yang sangat sesuai bagi penganjuran sesebuah festival besar.
Siapa perlukan Paris, Milan atau New York jika Minggu Fesyen Dubai juga berlangsung dengan penuh prestij. Pakaian berjenama Christian Dior, Ungaro, Givenchy dan Christian Lacroix akan diperagakan selama lima hari.
Selain itu, dalam bulan tersebut, berlangsung acara seperti Festival Jazz Antarabangsa, Maraton Dubai serta Kejohanan Tenis Dubai . Bagi peminat golf dan juga perlumbaan kuda, jangan ketinggalan mengikuti Dubai Dessert Classic dan Piala Dunia Dubai . Selain itu, Festival Filem Antarabangsa Dubai juga menarik dengan acara karpet merah berlangsung di Resort Madinat Jumeirah.
MASYARAKAT
Kepelbagaian latar bangsa di Dubai pasti membuatkan seseorang pelancong berasa seperti berada di negara ciptaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Polisi langit terbuka yang diperkenalkan juga membuatkan warga tempatan belajar untuk lebih bertoleransi dan memahami antara satu sama lain. Pelancong akan terkejut dengan keramahan masyarakat di sini.
"Kami ibarat Switzerland di Asia Tengah. Kami neutral, maka semua orang bebas melakukan apa sahaja asalkan mereka gembira," jawab Saeed M. Al Nabouda, Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah agensi penggalak pelancongan Dubai ketika ditanya mengenai semangat perpaduan di Dubai .
"Kami menganggap semua orang adalah sahabat dan kami mengalu-alukan kedatangan mereka ke sini untuk bercuti, berhibur dan berbelanja."



shini at February 9, 2009 5:51 PM
A country that i alwayz wanted to go...lucky you babe!