Dari Kuala Lumpur ke Thepa
SEMASA Adnan Ahmad mula bekerja di sebuah restoran Melayu Thai di Ampang, Selangor, tiga tahun lalu, usianya baru 17 tahun. Berasal dari Thepa yang terletak dalam wilayah Songkhla di Selatan Thai, dia tekad untuk datang ke kawasan pinggir bandar raya Kuala Lumpur itu - bertemu ahli keluarga dan bekerja.
Kini, berkat berjimat, dia boleh berbangga dengan pendapatan yang agak lumayan, hingga membolehkannya membeli sebuah motosikal dan sebuah kereta Honda Jazz di Thepa.
Peluang begini mungkin agak sukar untuk dirasai di kampung halaman saya," kata Adnan, 20, yang cuma lulus sekolah pondok di kampungnya itu.Selama beberapa dekad, kehadiran orang Melayu Thai seperti Adnan, kebanyakannya bekerja di restoran makanan ala Thai, diterima dengan tangan terbuka oleh masyarakat tempatan.
Malah menurut satu perangkaan, terdapat sekurang-kurangnya 1,500 buah restoran Melayu Thai di Malaysia. Dan sama seperti ribuan orang Melayu Thai lain, Adnan merupakan antara yang bekerja di Malaysia kerana pertalian keluarga dan saudara. Sebenarnya, restoran itu diusahakan ibu saudara Adnan, Mangeera Wanwang.
Penulis mengenali Adnan kerana restoran tempat dia mencari rezeki sememangnya sering penulis kunjungi. Hidangan tomyam dan kerabunya memang sukar dilupakan, sementelah semua pekerjanya - daripada tauke, tukang masak hingga pelayan, berasal dari beberapa daerah di Selatan Thai.
Menurut Adnan, kelompok Melayu Thai ini sering melintas sempadan dalam tempoh tertentu untuk memperbaharui visa kerja. Lazimnya, peluang tersebut digunakan untuk berehat sebentar di kampung halaman masing-masing.Lalu terdetik dalam hati penulis, alangkah eloknya jika dapat melihat sendiri kehidupan masyarakat Melayu di sana, yang khabarnya banyak menerima manfaat daripada warganya yang bekerja di Malaysia.
Apatah lagi, Adnan telah beberapa kali mengajak penulis balik ke kampung halamannya di Thepa. Namun hanya satu kebimbangan - beberapa kejadian letupan bom yang mengorbankan belasan nyawa telah menggegarkan bandar Hat Yai beberapa hari sebelum Adnan dijadual bertolak pulang. Bagaimanapun, penulis telah diyakin perjalanan itu selamat.
"Tak perlu takut. Semua tempat itu jauh di sebelah selatan. Thepa jauh dari sebarang keganasan. Mudah-mudahan kita selamat," ujar Adnan sebaik saja kami menaiki bas ekspres Kuala Lumpur-Hat Yai pada malam 3 Jun lalu.
Perjalanan selama lima jam dari Kuala Lumpur ke Bukit Kayu Hitam disambung dengan satu jam lagi untuk tiba di Hat Yai. Dari situ, kami perlu menaiki van untuk menempuh perjalanan ke arah tenggara sebelum tiba di kampung pinggir laut bernama Pak Nam Thepa (bermaksud Kuala Tiba), tempat saya menumpang di rumah keluarga Adnan.
Akhirnya, kami tiba di destinasi selepas melalui perjalanan sejauh 75 kilometer yang menemukan beberapa sekatan jalan raya dan pos kawalan tentera. Di kampung yang majoritinya Melayu Islam itu, suasananya tidak ubah seperti sebuah perkampungan tradisional di Malaysia. Baik anak kecil mahupun warga emas yang bongkok udang, ramah menegur Adnan, 'hero' kampung yang diangkat sebagai pemuda contoh itu.
Bagi penulis pula, senyuman orang kampung menjadi salam pertama, memandangkan mereka tidak pasti sama ada penulis ini orang Siam atau Melayu. Penulis terpesona dengan kedamaian suasana Pak Nam Thepa pada pagi itu. Tidak seperti Selatan Thai yang biasa ditunjukkan dalam media, penulis menyaksikan jalan-jalan kampung yang sunyi hanya dilalui beberapa buah trak pikap serta penunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.
Lelaki-lelaki berkain pelekat dan wanita bertudung dalam keadaan santai, sama ada menjaga kedai runcit, menghantar anak ke sekolah, membersihkan jala mahupun melakukan transaksi di kuala. Senario kehidupan yang sangat ringkas!
The green thing is called daun cemperai. Taste like petai.
Penulis lega kerana penduduk di kampung itu menggunakan bahasa Melayu loghat Kelantan dalam percakapan harian. Salah seorang daripada mereka ialah Dahari Abdullah yang pernah lebih 10 tahun bekerja di restoran di Malaysia.
"Paling lama di Johor, bermula pada tahun 1990 ketika berusia 19 tahun," ujar Dahari, 35, yang sekarang membuka kedai makan di Thepa. Berada beratus-ratus kilometer dari negara sendiri, penulis sedikit kagum saat lelaki Pattani ini bercerita tentang pengalamannya menetap di Johor Bahru, bandar raya kelahiran penulis. Dalam ceritanya, dia pernah tinggal menyewa dengan rakan-rakan bujang di Kampung Melayu Majidee, di Kulai, dan juga Taman Tun Aminah.
Menurut Dahari, dia berniaga ikan bakar di sebuah warung dekat bekas tapak Pasar Besar (sekarang menjadi pusat beli-belah City Square Johor Bahru). Setelah sedekad mencari rezeki di beberapa tempat di Johor, Dahari sempat berniaga selama dua tahun di Pulau Pinang sebelum mengambil keputusan kembali ke Selatan Thai.
"Rasanya orang Thai tidak banyak menimbulkan masalah sosial di sana. Kami amat menghargai penerimaan masyarakat Malaysia terhadap orang Melayu Thai," sambung Dahari.Dahari juga menyangkal dakwaan yang mengatakan bahawa orang Melayu Thai hanya boleh menceburkan diri dalam bisnes restoran dan kedai makan.
"Sebenarnya, kami juga boleh terlibat dalam bidang pembinaan," ujar Dahari yang percaya ketelitian dan kualiti kerja orang Melayu Thai tidak kurang hebatnya.
"Orang merantau ini seronok. Berkorban demi pengalaman. Motivasi kami adalah pendapatan yang lebih, kerana Malaysia itu makmur dan membuka peluang untuk semua. Hasil titik peluh itu kami simpan dan dibawa pulang ke kampung halaman. Kami diajar untuk tidak melupakan keluarga, saudara dan masyarakat," terang Dahari.
Celah Adnan pula: "Kalau hendak diikutkan, siapa yang tidak suka tinggal di kampung sendiri. Cuma di sini tidak banyak peluang pekerjaan yang menjanjikan pulangan baik. Kalau di kampung, ramai remaja seusia saya sekadar kerja kilang, kedai makan atau menjadi nelayan dengan pendapatan terhad."
Penulis juga diberitahu, masjid dan beberapa kemudahan lain di kebanyakan kampung seperti Pak Nam Thepa dibangunkan sendiri oleh penduduk kampungnya. Tidak hairanlah jika semua keberkatan itu datangnya daripada wang hasil titik peluh perantau dan generasi muda yang menghantar nota ringgit Malaysia ke kampung masing-masing.
rather than earning money the hard way in their kampungs.
Catitan flashback sebelum bertolak ke Thepa...
BERKONGSI cerita tentang semangat dan kegigihan orang Melayu Thai berniaga, pengusaha sebuah restoran di Ampang, Selangor, Mangeera Wanwang menyatakan bahawa dorongan kerja itu terbit daripada kesukaran yang dialami di tanah sendiri.
"Kalau hidup kami senang, kami tidak akan melintas sempadan. Bayangkan, betapa ramai yang sanggup meninggalkan keluarga untuk mencari rezeki di Malaysia. Hakikatnya, kehidupan di sana sangat sukar. Hidup umpama kais pagi makan pagi," ujarnya berterus-terang.
Mangeera, 41, yang berasal dari Thepa, iaitu sebuah daerah dalam wilayah Songkhla, mula berhijrah ke Malaysia pada tahun 1984 untuk mencari kerja. Jodoh mempertemukannya dengan seorang lelaki tempatan pada tahun 1990 dan mereka telah membina keluarga di sini. Percaya pada peluang luas dalam berniaga, pasangan itu membuka kedai makan itu pada tahun 1995, dan ia kekal hingga kini.
"Jika membuka kedai makan di kampung di Selatan Thai, pelanggannya mungkin cuma jiran tetangga sendiri. Ada juga pelanggan yang tidak mampu membayar harganya. Macam mana mahu berniaga? Tapi keadaan itu tidak dapat dielakkan," luahnya yang menyifatkan kerancakan bisnes kedai makan di Malaysia adalah kerana rakyatnya yang 'makan 24 jam'.
Menurut ibu kepada lima anak ini, kesukaran tersebut ditambah pula dengan tekanan yang dihadapi oleh peniaga di tempat-tempat yang berlaku kekacauan sosial dan politik.
"Apabila kami pulang ke kampung halaman, kami ibarat 'raja'. Ramai orang yang akan datang ke rumah meminta bantuan, dan kami rasa terpanggil untuk membantu mereka. Dengan apa yang kami usahakan, kami boleh menghulur sedikit sebanyak," ujarnya.
Manakan tidak, purata gaji bulanan yang diterima oleh setiap pekerjanya di kedai makan itu boleh mencapai tiga kali ganda berbanding menjadi penyelia kilang di kampungnya iaitu sekitar RM500.
"Kepuasan itu hadir apabila kami berupaya meningkatkan tahap ekonomi keluarga. Namun bagi yang masih duduk di kampung, mereka perlu tahu bahawa kami di Malaysia juga berhempas-pulas untuk meneruskan perniagaan," katanya yang menyedari ramai pengusaha kedai makan Thai yang terpaksa gulung tikar akibat masalah seperti keputusan modal dan persaingan sengit.
"Jadi, latar belakang kehidupan yang sukar di negara sendiri sepatutnya dijadikan pendorong untuk bekerja dengan lebih gigih. Kata orang, biar tahan hujan dan panas. Untuk terus kekal berniaga kami utamakan gaya hidup serba sederhana. Jarang sekali hendak berbelanja atau berpakaian mewah," kata Mangeera.
"Lebih baik duit yang dikumpul itu digunakan untuk masa depan anak-anak dan keluarga. Itu yang menjadi pegangan kami."



Fazlee b. Haji Othman at April 26, 2009 8:25 AM
Amat menarik sekali veb. sdr.
TQ
Kamelia at April 29, 2009 10:26 AM
wow.. menarik la story ni.. hmm ni salah satu utk artikel kosmo or jus 4 tis website? hmm cume i jus nak tau harga makanan di sana berbanding harga makanan disini?
A.H. Hamzah at April 29, 2009 4:15 PM
hi Lia... makanan kat kampung selatan thai murah dan sedap. emmm... sepinggan nasi kerabu dlm 10 baht (singgit jer). kalau lebih dua ringgit tuh dah kira ada lauk best2. citer nih penah kuar kosmo ... ada sambungan tau... cuba baca story 'Mencari damai Selatan Thai'..