Helluva Hong Kong!

DISNEYLAND

Mickey Mouse, Donald Duck, Goofy, Cinderella dan banyak lagi watak kartun Disney kegemaran anda kini sudah fasih berbahasa Kantonis! Disneyland Hong Kong yang terletak di Pulau Lantau adalah tarikan berprestij bagi mereka yang mencari lokasi hiburan berorientasikan keluarga.

Selain memukau pengunjung dengan pelbagai persembahan dalam dewan tertutup dan perarakan pancawarna, Disneyland menjadikan pertunjukan bunga api di latar langit kastil Sleeping Beauty pada pukul 8 malam sebagai kemuncak operasi hariannya. Pelbagai kemudahan dan tarikan sedia diguna dan dilawati di Main Street, Adventureland, Fantasyland dan Tomorrowland. (hongkongdisneyland.com)

VICTORIA PEAK

Cara terbaik untuk ke Victoria Peak adalah dengan menaiki Peak Tram (bayangkan kereta api Bukit Bendera di Pulau Pinang). Selepas membayar harga tiket pergi dan balik ( HK $30, kira-kira RM15), hanya tujuh minit diperlukan untuk pengangkutan bersejarah ini membawa anda ke puncak. Selain mengunjungi pusat niaga komersial dan menikmati pemandangan spektakular hutan batu Hong Kong dari ketinggian ini, muzium patung lilin Madame Tussauds (madame-tussauds.com. hk ) di The Peak Tower turut menjadi destinasi popular.

Ia merupakan kediaman rasmi untuk ratusan personaliti dan bintang unggul dunia dari bidang politik, hiburan dan sukan. Tidak hairanlah, jika ramai yang mahu mengambil peluang beraksi dengan Jackie Chan, mempersenda Presiden George W. Bush, menyentuh Brad Pitt atau bersosial bersama keluarga diraja Britain.

LORONG-LORONG GODAAN

Maaf, bukan perkara 'nakal' seperti yang anda fikirkan. Penulis maksudkan pengalaman beli-belah di pasar jalanan ala Petaling Street di Kuala Lumpur. Di lorong-lorong niaga popular, pelbagai pilihan barangan, daripada cenderamata, kosmetik, pakaian, beg tangan, aksesori hinggalah kepada kelengkapan rumah boleh didapati pada harga yang cukup membuatkan sesiapa sahaja pulang dengan tangan yang penuh.

Kunjungan ke Ladies Market di Pulau Kowloon, atau Stanley Street, Pottinger Street dan Li Yuen Streets (berdekatan Queen's Road Central) di pulau Hong Kong adalah kesempatan untuk mengasah 'bakat' tawar-menawar anda. Namun, anda tidak perlu terlalu agresif kerana para penjual sudah bersedia mendengar rayuan agar harga diturunkan sehingga separuh. Apa yang penting, jika berkenan di hati, minta potongan harga dan terus beli! Masalah simpanan dan lebihan bagasi boleh difikirkan kemudian.

KOMUNITI ISLAM

Bagi pengembara Muslim, kunjungan ke Pusat Islam Osman Ramju Sadick (+852 2834 7800) di Oi Kwan Road, Wanchai, boleh dijadikan langkah awal dalam merencana agenda yang selamat. Ambil peluang untuk mengenali minoriti Muslim pelbagai bangsa serta lokasi masjid-masjid di sekitar Hong Kong.

Di bawah satu bumbung, pusat ini turut menempatkan Masjid Ammar, restoran, perpustakaan, klinik dan pusat pendidikan.Kesatuan Islam Hong Kong (+852 2893 5704) juga beroperasi di sini. Para sukarelawan dan pegawai perhubungan sedia membimbing dalam hal-hal yang berkaitan, seperti maklumat mengenai pusat makanan halal. Di sini juga, Islamic Centre Canteen (+852 2834 8211) menghidangkan dim sum dan masakan Kantonis yang Halal.

PUSAT HIBURAN

Bagaikan tidak adil jika sekadar menyebut satu atau dua tempat. Ini kerana ribuan pusat hiburan di Hong Kong tidak kenal akan maksud 'berhenti'. "Kota ini tidak pernah tidur," ujar Stanley, pemandu pelancong kami dari Majlis Pelancongan Hong Kong. Tiada yang tidak benar tentang dakwaan itu. Memandangkan setiap orang mempunyai minat tertentu semasa melancong, Hong Kong menawarkan pelbagai jenis hiburan kepada pelancong, sepanjang waktu.

Pilih sahaja mana-mana premis hiburan bertema yang berselang-seli dengan taman-taman awam dan kafe gaya hidup di sepanjang pelabuhannya yang meriah. Di setiap ceruk kota yang makmur ini, anda akan menemui sesuatu!

RTIKEL BERIKUT DISIARKAN DALAM AKHBAR KOSMO PADA 29 JULAI 2006:

SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia tidak membuat perhitungan yang silap apabila menjadikan  Macau  sebagai salah satu daripada destinasi persinggahannya. Terbukanya laluan langit ini disifatkan sebagai laluan mata wang yang segera diterjemahkan menjadi pelbagai urus janji bisnes, termasuk juga merasai pengalaman berbelanja yang menyeronokkan.

Begitulah kami, seramai 11 orang dalam kumpulan media Malaysia yang menjadi tetamu Badan Pelancongan  Macau  dan juga Hong Kong pada 19 hingga 24 Jun lalu. Walaupun kedatangan kami atas nama tugas, lawatan ke destinasi beli-belah nyata muncul berulang dalam senarai aktiviti harian. Kata orang, sambil menyelam... minum air. Kata kami pula, sambil membuat liputan pelancongan, dolar Hong Kong dan pataca  Macau , pasti dibelanjakan!

Macau  ditinggalkan dahulu kerana rancangan hari-hari terawal kami adalah di Hong Kong. Feri laju TurboJet yang dinaiki hanya mengambil masa kira-kira sejam untuk menyeberangkan kami ke Terminal Shueng Wan, Hong Kong.

Pada malam pertama di Lanson Place Boutique Hotel & Residences di Causeway Bay, penulis sempat mengakses Internet sebelum melelapkan mata. Yahoo Messenger menghubungkan penulis dengan seorang teman yang pernah bercuti di Hong Kong. Dia tidak henti-henti menyuruh penulis pergi ke tempat itu dan ini.

"Pergilah ke bazar malam di Mongkok atau Tai Yuen Street di Wan Chai! Juga Western Market di Sheung Wan! Dan Bazar Cat Street banyak menjual barangan antik! Kalau berani, pergilah menyusuri jalan-jalan yang sentiasa meriah di Kowloon!" Begitu katanya hingga penulis terbayang-bayang dalam mimpi. Yang nyata, tidak semua tempat sempat dilawati.

Sepanjang dua hari berikutnya, kami berpeluang untuk ke pelbagai tempat menarik. Inti rakaman program Nona yang mengetengahkan lokasi beli-belah menjadi rangka perjalanan kami sepanjang berada di Hong Kong.

Rentak kehidupan yang sibuk dan pantas di sekitar Pedder Building, Pottinger Street dan Li Yuen Street East dan West seakan-akan memberi tenaga kepada kami untuk 'menyelinap' ke lorong-lorong seperti Petaling Street itu secara berasingan.

Namakan apa sahaja, daripada pakaian, aksesori perhiasan, barang kemas hinggalah kepada barangan keperluan rumah, semuanya boleh ditemukan dengan mudah. Secara perbandingan, carian popular seperti minyak wangi, dan pakaian berjenama tertentu adalah lebih murah berbanding di Kuala Lumpur.

"Jangan lupa ke butik seperti Giordano, Esprit, U2 dan G2000. Ini kerana koleksi yang dijual adalah dua atau tiga musim lebih awal berbanding di Malaysia," pesan seorang teman wartawan. Dia sendiri tidak sabar membeli dompet dan tas tangan daripada jenama Coach, Louis Vouitton, Tod's, Furla dan Liz Clairborne.

Jika mencari barangan berjenama dan eksklusif (dan ketulenan yang dijamin), terdapat banyak kompleks beli-belah boleh dikunjungi. Antaranya ialah The Landmark, The Galleria, Prince's Building, Alexandra House dan IFC Mall. Terkini, kompleks Harbor City di Tsim Sha Tsui, menggoda pengunjung dan pelancong kelas pertengahan dan atasan dengan lebih 700 lot kedai.

Dari lorong ke gedung raksasa, dari premis bawah tanah ke sudut terpencil di persimpangan jalan, seseorang bakal menemukan variasi perniagaan di Hong Kong. Banyak juga pasar jalanan yang mempunyai tema jualan khusus seperti pasar barangan rumah, pakaian lelaki, aksesori wanita, barangan kaca dan sebagainya.

Sayang sekali, beberapa patah perbendaharaan kata dalam bahasa Mandarin yang diketahui oleh penulis tidak dapat dimanfaatkan di negara yang majoritinya berdialek Kantonis. Jika tidak, pasti sudah rancak adegan tawar-menawar!

Kalau sudah rambang mata, waktu bukan lagi menjadi halangan. Jika kehabisan wang tunai, kad kredit pula menjadi ganti. Jarang sekali, jika ada yang keluar dari kawasan perniagaan ini tanpa berbelanja walau sesen pun.

Ditambah pula dengan peniaga-peniaga yang bijak 'mencairkan' hati pelanggan. Hakikatnya, kos kehidupan yang tinggi di bandar raya ini memaksa penduduknya aktif berniaga. Itulah antara yang menjadi nadi urbanisasi Hong Kong.

"Di kawasan sentral ini, jika kamu memiliki tiga jongkong emas sekalipun, kamu tidak dapat membeli semeter persegi tanah," teringat kata Willie Fung, pemandu pelancong kami. Dalam hati berbisik, 'Kalau ada sejongkong emas sekalipun, tetap akan ditukar menjadi wang tunai dan dihabiskan di Pottinger Street itu!'.

Ahli rombongan kembali menyusuri Delta Sungai Pearl pada hari ketiga untuk ke  Macau . Jika ada yang menyangka kota ini hanya menarik kedatangan pelancong untuk berjudi, ia ternyata anggapan yang silap. Selain memukau minat pelancong dengan kerlipan neon pusat kasino yang berkerlipan sepanjang malam ke dinihari,  Macau  sebenarnya merupakan destinasi yang menarik untuk 'kaki shopping'.

Terima kasih kepada bekas penaungnya, Portugis.  Macau  kini mewarisi pelbagai aspek hasil pertembungan dunia Eropah dan Asia Timur. Selain tarikan seni bina, bahasa dan makanan,  Macau  kini memanggil pelancong dunia dengan pusat-pusat niaganya.

Malam pertama, kami dikejutkan dengan kewujudan banyak kedai-kedai barang kemas dan jam yang terus dibuka walaupun sudah melewati waktu tengah malam. Kata salah seorang petugas kedai, "Kalau ada yang menang besar di kasino, harap-harap mereka akan berbelanja di kedai kami!". Oh, itu sebabnya.

Di  Macau , kami berkesempatan mengunjungi deretan kedai di sekitar Leal Senado Square dan Almeida Ribeiro. Di sini, penulis berhabisan wang di butik Levi's yang menawarkan harga lebih murah berbanding di Malaysia.  Macau  Fisherman's Wharf turut disinggahi kerana projek pusat riadah dan rekreasi mega ini merupakan pusat sehenti mesti pergi dalam senarai tarikan terkini di  Macau . Di dalamnya, terdapat lebih 100 lot kedai yang menjual pelbagai jenis barangan.

Urus niaga di  Macau  tidak membataskan penggunaan mata wang pataca kerana dolar Hong Kong masih diterima. Selain itu, ringgit malaysia juga boleh ditukar di kebanyakan pusat tukaran wang. Nilai tukaran ringgit dalam dolar Hong Kong tidak jauh bezanya dengan mata wang pataca (RM100>  HK $210.50).

Sebahagian besar daripada kami terus berbelanja hingga ke hari terakhir di  Macau , seolah-olah akan muncul kuasa semesta yang bakal menghalang agenda jualan murah selepas itu. Manakan tidak, yang berlepas dari LCCT Sepang dengan sebuah beg, pulang dengan tiga buah beg!

Penulis teringat lagi pada jam-jam terakhir sebelum pulang ke Malaysia. "Berapa banyak lagi dolar Hong Kong atau pataca yang tinggal? Boleh pinjam tak?" seloroh pengacara Nona, Nurul Syuhada kepada penulis saat dia membelek set cadar katil pelbagai corak di sebuah pasar jalanan  Macau .

Mungkin dia sekadar bergurau. Namun, penulis juga yakin di kepalanya ketika itu, dua Nurul Syuhada sedang bertengkar - hendak beli atau tidak!

user-pic

Mustafa Akmal at January 14, 2009 3:00 PM

Artikel dan pujuk cerita penulis telah membawa aku terbang ke destinasi ini dan berbelanja setengah gila...

user-pic

borhan n muza at July 18, 2009 5:32 PM

wargh......aku n wife pun nak pergi ujung taun nih....braper ribu nak kena bawak ek??? sebab bini aku nih memang tak leh tengok barang cantik2...hong kong....Wait 4 us....

user-pic

braderdee at October 21, 2009 10:33 PM

aku pun nak gi gak hujung november atau awal disember ni....tp dgr cerita kt HK ni segalanya mahal....

user-pic

Hilmy at February 5, 2010 11:39 AM

Salam...saya akan ke Hong Kong Disneyland ditanggung sepenuhnya kerana memenangi 3rd Prize Slogan Contest (online) satu jenama komputer terkenal...pada awal Mac 2010 ini...minta bantuan anda untuk cerita serba sedikit tentang pengalaman pergi ke sana. jasa baik anda dikenang!

user-pic

farah at May 4, 2010 11:09 AM

rancang ke HK awal tahun 2010. baca artikel ini cukup menggahairahkan ke HK. hahahaa...

user-pic

iss5868 at October 11, 2010 9:54 AM

Saya nak g 23 Nov ni...satu maklumat yg berguna...Rasa2 kena siap dolar HK banyk2 nih...!tak sabarnye HK wait 4 me...kami g ramai about 20 org in d family...kt mane yg sesuai duduk ye? may u know apartment yg murah k...let me know..anyway... thanks a lot 4 d information!

Leave a comment