Kembara jiwa ke Danau Toba

Tidak akan sempurna agenda wisata di Sumatera Utara jika tidak menjejakkan kaki dan menjamu pancaindera di  Danau   Toba . Walaupun jarak antara kota raya Medan ke tasik yang gah itu hanya lebih kurang 200 kilometer, tetapi struktur muka bumi, keadaan jalan raya satu lorong, serta kesibukan lalu lintas, menyumbang kepada masa perjalanan.

Saya menaiki kenderaan pacuan empat roda Toyota Kijang yang merentasi beberapa Kabupaten (daerah) dan pekan seperti Lubuk Pakam, Perbaungan, Sei Rampah, Tebing Tinggi, Pematang Siantar dan Tigadolok, sebelum sampai ke hentian destinasi di Parapat.

Merentasi panorama kehidupan di beberapa Kecamatan (mukim) dan Kelurahan (kampung) bagaikan menyaji falsafah ke dalam diri. Memang benar kebanyakan mereka golongan miskin. Malah bukan keterlaluan jika dikatakan terdapat kelompok masyarakat di sini jauh lebih daif daripada penduduk setinggan di Malaysia. Namun begitu, mentaliti survival mereka amat tinggi.

Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mencari sesuap nasi. Salah satu contoh paling ketara ditemui ialah kesungguhan anak-anak kecil dan juga dewasa yang digelar asongan dan juga pengamen. Golongan ini sering kelihatan mundar-mandir di tepi jalan raya.

Asongan menjaja pelbagai barangan makanan atau cenderamata kepada orang ramai. Manakala pengamen bermain alat muzik seperti gitar dan gendang sambil bernyanyi, kemudian meminta untuk dibayar 'harga' persembahan mereka.

Deretan kenderaan yang berhenti ketika lampu trafik bertukar merah adalah satu kesempatan yang amat berharga bagi kedua-dua golongan ini.

Dengan mengetuk cermin kereta, asongan mengharapkan penumpang di dalamnya akan berminat untuk membeli sesuatu daripada gendongan barang jajaan, manakala bagi pengamen, mengharapkan orang ramai untuk jatuh simpati atau terhibur lalu memasukkan wang ke dalam cawan yang dilekatkan di pakaian atau di hujung gitar mereka.

Dalam keadaan tertentu mereka agak memaksa, walaupun barang jajaan hanya berupa cenderamata berupa potongan kecil kulit kayu, ataupun seni persembahan yang tiada indahnya baik dari segi rentak, lagu mahupun suara.

Nyata di wajah asongan dan pengaman itu, setiap titis keringat adalah harapan mulus untuk kehidupan esok hari. Sesungguhnya kembara ke Sumatera Utara ini membuka mata dan jiwa agar kita bersyukur dengan apa yang kita miliki di tanah air sendiri.

Berbalik pada perjalanan ini, Pematang Siantar adalah antara pekan yang menarik untuk disinggahi dalam perjalanan ke Parapat. Selain memainkan peranan sebagai ibu kota Kabupaten Simalungun, ia aktif bertindak sebagai pusat industri kecil dan sederhana bagi pengumpulan dan pemprosesan sumber-sumber pertanian.

Di kalangan masyarakat tempatan dan juga pelancong luar, Pematang Siantar amat dikenali dengan jualan produk makanan kering seperti biskut dan kerepek yang berasaskan kekacang. Selain itu, Pematang Siantar juga tidak ketinggalan dalam menjana industri logam, elektronik, agrokimia dan hasil hutan.

Sepanjang kembara ini jelas terlihat berbagai keunikan dari aspek sosial dan budaya. Masyarakat majmuk Indonesia yang pada zahirnya berkulit asli Melayu-Nusantara ini dibezakan dengan entiti budaya dari variasi etnik serta sejarah keturunan mereka. Melayu-Deli, Nias, Simalungun, Mandailing dan juga Batak  Toba  adalah sebahagian dari suku-suku yang penulis dapat kenali di Sumatera Utara.

Dari Lubuk Pakam ke Pematang Siantar, pemandangan banyak tertumpu pada pola penduduk yang nyata setia mengikut fahaman agama. Islam nyata berpengaruh di sepanjang perjalanan merentasi kampung-kampung di Kabupaten Deli Serdang, dan apabila memasuki Kabupaten Simalungun, agama Kristian lebih mendominasi.

Namun begitu, Buddha dan Hindu juga menjadi agama pilihan dengan peratus anutan di bawah 5 peratus daripada keseluruhan 12 juta penduduk Sumatera Utara.

Menyentuh tentang pembinaan rumah ibadat, kebanyakan masjid dan gereja di sini didirikan atas sumbangan derma orang ramai, bukan bantuan dana secara terus daripada pihak pemerintah.

Pandangan pertama  Danau   Toba  semakin jelas kelihatan apabila pengunjung menghampiri Rantau Parapat yang bertindak sebagai pekan utama menyambut kedatangan mereka. Oleh kerana lokasi yang strategik di pinggir  danau  di Kabupaten Simalungun ini, Parapat semakin berkembang dari segi kependudukan, kegiatan sosial dan juga ekonomi.

Bermula sebagai pekan pertanian, Parapat berubah menjadi pekan pelancongan hasil daripada gahnya nama  Danau   Toba  di kalangan pengunjung yang datang dari serata dunia.

HORAS! diucapkan secara meluas oleh masyarakat Batak bagi apa jua keadaan. Ia adalah ucapan bersifat akumulatif dan universal untuk mewakili kata-kata 'Selamat Datang', 'Hello', 'Bagus', 'Semoga Berjaya' dan apa jua yang positif.

Mengikut cerita, terbentuknya  Danau   Toba  ini ialah daripada bekas runtuhan gunung berapi. Kawah besar yang menampung air tawar sehebat laut ini kini memberi kemakmuran kepada empat Kabupaten yang berkongsi hasilnya iaitu Karo, Simalungun, Tapanuli Utara dan Dairi. Di tengah-tengah  danau  ini terdapat sebuah pulau iaitu Pulau Samosir yang saiznya seluas Singapura. Bayangkanlah betapa besarnya Danau Toba ini!

Tomok dan Ambarita adalah antara hentian penting yang terdapat di Pulau Samosir. Kebanyakan aktiviti sosioekonomi di  Danau   Toba  tertumpu pada bidang pertanian dan hasil seni kraf. Anugerah kesuburan tanah bekas limpahan larva gunung berapi serta sumber air  danau  yang tidak kehabisan merancakkan aktiviti bercucuk tanam di serata muka buminya.

Mercu tanda alam Sumatera Utara ini sungguh besar jasanya kepada masyarakat tempatan yang rata-rata berpendapatan sederhana dan rendah. Di sini tiada kelompok elit, ataupun kehidupan yang mewah material. Hanya rantaian kudrat dan harapan ribuan manusia yang dapat terus menyara hidup dengan menghargai keajaiban semula jadi ciptaan Tuhan.

Tomok menjadi pilihan persinggahan di Pulau Samosir. Kebanyakan seni bina bangunan di sini digayakan mengikut rumah adat Batak iaitu Jabu Persaktian. Ciri-ciri rumah adat ini jelas terlihat di bumbungnya. Fungsi sebenar rumah adat di daerah Batak  Toba  ini ialah tempat penyimpanan barang-barang pusaka dan tempat pertemuan untuk membicarakan hal-hal yang berhubungan dengan penyenggaraan adat.

Selain pertanian, penternakan kambing, lembu dan juga khinzir juga diusahakan pada skala sederhana oleh masyarakat di sini. Makam Batu Raja Batak sangat menarik untuk dilawati. Pastikan ada pemandu pelancong bersama untuk mengetahui sejarah bagaimana Raja Batak ketika itu yang bernama Raja Sidabutar dikatakan suka memakan daging manusia untuk menambah kekuasaan, kewibawaan dan keperkasaannya.

Perjalanan pulang meninggalkan Parapat merentasi laluan Simarjarunjung - Tigarunggu - Seribu Dolok. Sepanjang merentasi tiga daerah ini yang sejauh lebih 70 kilometer, tidak hilang pandangan  danau  sehingga tiba di lokasi air terjun Sipiso-piso.

Berhentilah sebentar di sini untuk menikmati pemandangan terakhir Danau Toba yang disemadikan dalam ingatan dan juga lensa kamera.

Anak Medan berkirim pesan,
Dingin  danau , awan Brastagi,
Kembara jiwa tinggal kenangan,
Entahkan bila bertemu lagi.

 

NOTA HATI: Aku ke sini bersama seseorang. Dia antara yang terawal memberi aku sayap untuk terbang tinggi. Tapi semakin aku terbang, dia juga semakin jauh. Aku cuba kembali ke tempat aku awal-awal mengenali dia.... ketika dia mula-mula mengajar aku melebar sayap dan mengenal angin. Tapi dia sudah tiada. Dia tak peduli pada aku lagi. Dia tak mampu beri jawapan untuk banyak soalan aku. Dia buat aku ingin patahkan sayap yang aku miliki.

user-pic

fitri at May 22, 2009 5:28 PM

danau impian hanyalah "toba"..kapan yuach...bisa k'sana..???

Leave a comment