Kunjungan ke pulau kosmopolitan

FIRSTNOTE: This travel piece was published in Kosmo! on December 2, 2006.  Together with it's second part entitled 'Apa Ada Dengan Singapura?', it has won double award for the Best Malay Article AND the Best Photography during Singapore Tourism Board Media Appreciation Night, held in J.W. Marriot Kuala Lumpur on July 4, 2007. Thank you STB! Selamat membaca!

 

 

JIKA Malaysia memukul canang tarikan pelancongannya di serata dunia dengan slogan 'Malaysia Truly Asia', Singapura tidak mahu ketinggalan dengan frasa 'Uniquely Singapore'.

Ya, ia unik kerana menyatukan unsur kemodenan dunia masa depan dengan kegemilangan masa lampau. Ia berbeza kerana saiznya yang kecil mampu menjadi destinasi persinggahan idaman para pekerja asing - walau kos hidupnya merupakan yang tertinggi di rantau Asia Tenggara.

Catatan sejarah membuktikan bahawa  pulau  ini sememangnya ditakdirkan untuk menjadi tempat tinggal bagi komuniti pelbagai kaum. Kedudukannya yang berada di laluan perdagangan dunia Barat dan Timur serta di tengah-tengah gugusan kepulauan Melayu Nusantara, nyata 'memaksanya' mencapai kematangan awal dari aspek ekonomi, politik dan sosial seterusnya berkembang membentuk identiti tersendiri.

Memetik kata Ketua Eksekutif Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Lim Neo Chian, seperti yang disebut dalam risalah pelancongan negara itu: "Di bawah redup bangunan pencakar langit yang mencerminkan kepantasan negara  kosmopolitan  ini, kami mengharapkan para pelancong dapat mengenali dan mendekati kawasan yang memberi gambaran sebenar tentang asas pembentukan Singapura."

Beliau merujuk kepada kemeriahan di Chinatown, rentak dan warna-warni di Little India dan juga keakraban komuniti di sekitar tapak Kampong Gelam. Di tempat-tempat itulah bermulanya jejak awal pembangunan Singapura - daripada sebuah kampung nelayan tempat para pelayar dan pedagang menurunkan sauh tongkang dan kapal mereka, ia kini menjadi destinasi kelas pertama dunia.

"Cina, Melayu dan India merupakan kaum utama di sini selain komuniti Eropah dan Arab dan juga beberapa pecahan etnik lain. Pecahan kaum ini secara tidak langsung memberi pengaruh di segenap penjuru Singapura. Percayalah, negara ini bukan tempat untuk anda merasa bosan," kata pemandu pelancong dari STB, Mohamed Yusoff Mahmood, sewaktu memberi taklimat awal kepada kumpulan wartawan Malaysia sejurus dijemput dari Lapangan Terbang Changi.

Terkenal dengan imej bandar raya yang bersih dan efisien dalam pola pembangunan yang tersusun, perjalanan kami disajikan dengan pelbagai pemandangan menarik.

Sebelum tiba di hotel tempat kami menginap sepanjang lawatan tiga hari dua malam itu, kami sempat singgah di Jalan Sultan untuk menikmati makan tengah hari yang istimewa di sebuah restoran yang bangga dengan slogan King of Soup Tulang.

Menu popular sup tulang itu sememangnya mengejutkan ramai dengan warnanya yang merah. Sementara rakan wartawan lain terkejut dengan penampilannya yang 'garang', penulis tidak berfikir lama untuk menyuapkan hidangan ala sup gear box seperti di Malaysia itu ke dalam mulut. Khabarnya, bukan sup itu sahaja yang berwarna merah sedemikian rupa, malah warna itu 'terserap' hingga ke hidangan nasi goreng dan mi gorengnya!

Makanan adalah salah satu daripada tinggalan warisan daripada pelbagai etnik di Singapura. Mengukuhkan lagi inti pernyataan tersebut, kami dibawa ke Taman Warisan Melayu yang terletak tidak jauh dari situ. Melewati lorong-lorong yang dijaga bersih, kami merentas Aliwal Street untuk tiba di lokasi yang menjadi titik fokus kepada kegiatan komuniti Melayu dan umat Islam.

Di taman warisan yang dahulunya merupakan sebuah istana milik Sultan Hussein Shah itu, kami mendekatkan diri dengan sejarah kerajaan Johor-Riau-Lingga, kisah penempatan penduduk pada awal kurun ke-19, aktiviti orang-orang tempatan di situ hinggalah kepada transisi yang berlaku sepanjang proses metamorfosis Singapura menjadi sebuah negara maju.

Selain mengunjungi Masjid Sultan yang hanya beberapa langkah dari halaman pusat sejarah itu, aura kehebatan silam Kampong Gelam dapat dirasakan apabila seseorang mengambil masa untuk menghayati aspek seni bina di sekitar Bussorah Street, Arab Street dan Haji Lane. Jalur bahasa penduduk asal kawasan itu mudah didengari jika beramah mesra dengan jemaah masjid.

Ketika berjalan-jalan di sepanjang deretan rumah lama yang dinaik taraf menjadi kedai komersial di Bussorah Street, bukan sahaja bahasa Inggeris dan Melayu yang kedengaran. Seorang peniaga kedai permaidani bertutur dalam bahasa Arab atau Parsi manakala seorang pemilik kedai tekstil di premis sebelah sibuk mengarahkan pembantu-pembantunya dalam bahasa Tamil.

Di satu sudut kedai minuman, dua warga emas mencampuradukkan bahasa Melayu dengan patah-patah perkataan Jawa sambil mengacau teh halia. Tidak lama kemudian, kerancakan perbualan itu ditenggelamkan oleh laungan azan dari masjid. Senario di sekitar Masjid Sultan itu adalah sesuatu yang biasa disaksikan pada setiap hari.

Bercakap tentang tarikan pelancongan untuk pengembara Muslim, Singapura menawarkan banyak tempat menarik. "Tanya saja kepada mana-mana orang tempatan, sama ada Muslim atau tidak, mereka pasti dapat mencadangkan pusat-pusat makanan yang menyediakan menu halal," kata Mohamed.

Sehingga hari ini, kebanyakan pusat makanan segera telah mendapat kelulusan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk beroperasi dengan sijil halal. Antara francais itu adalah McDonald's, Pizza Hut, Swensen, Burger King, Taco Bell dan Long John Silver. Kami juga sempat menjamu selera di kafe Fig and Olive, dan juga melawat The Banquet, iaitu medan selera pertama yang menghidangkan makanan halal sepenuhnya kepada para pelanggan.

Dalam lawatan yang ditaja pihak STB ini, kumpulan media Malaysia ini telah dibawa menjelajah ke sekeliling kota. 'Singapore: A great mix of old and new (Singapura: Gabungan hebat lama dan baru) adalah salah satu ayat dalam brosur STB yang menerangkan keistimewaan seni bina di sini.

Mungkin barisan pencakar langit moden yang tersergam megah di sepanjang Sungai Singapura, serta Esplanade Theatre di pintu laut selatan negara itu tidak membuatkan pengunjung yang berasal dari kota raya besar terlopong mulut. Namun, usaha yang ditunjukkan dalam projek pemuliharaan bangunan lama dan bersejarah adalah sesuatu yang sangat dipuji.

Selain bangunan dengan seni bina neo-klasikal seperti Raffles Hotel, Fullerton Hotel dan Victoria Theatre and Memorial Hall, penulis amat kagum dengan usaha penebusan semula fungsi deretan kedai-kedai lama yang telah wujud sejak awal kurun lalu.

Bangunan berunsur kolonial yang diberi nafas baru itu ada yang diubah menjadi bar, kafe, butik ataupun kedai serbaneka, sama seperti yang dilakukan di Bussorah Street. Kesemua hasil kerja naik taraf itu, bersama bangunan moden lain yang mengangkat gaya futuristik, nyata membentuk imej global yang amat dibanggakan oleh rakyat Singapura.

"Pihak pemerintah perlu menyediakan semua tarikan ini kerana rakyatnya sudah bekerja bersungguh-sungguh untuk mengikut rentak kehidupan yang pantas. Di sini, wang yang dibayar adalah harga kualiti kehidupan mereka sendiri," kata seorang kelasi dari Rusia, Valdamir Zraskoff, 32, ketika ditemui di Boat Quay.

Boat Quay dan Clarke Quay adalah lokasi di pinggir Sungai Singapura yang dibangunkan menjadi kawasan siar kaki yang dipenuhi kafe-kafe alfresco, pusat hiburan, restoran, pusat rekreasi serta serta taman awam.

Kami juga sempat dibawa ke Orchard Road. Jika Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur dapat merangkaikan lima atau enam buah kompleks beli-belah, Orchard Road menggoda pelancong dengan himpunan lebih 20 buah kompleks kesemuanya!

Ketika kami berada di sana pada malam terakhir lawatan, kebanyakan lampu perhiasan yang bertemakan sambutan Deepa-Raya mula diganti dengan hiasan sempena menyambut kedatangan Hari Krismas.

"Datanglah lagi nanti, tema hiasan Krismas kali ini adalah dunia fantasi," kata Mohamed yang menunjukkan sebuah pokok Krismas berkemasan emas dan perak.

Dalam kerlipan ornamen gantungan yang disulami cahaya neon, kelihatan dua bidadari bersayap menyambut pengunjung di gerbangnya. Baru kami tersedar, tempoh lawatan ini terlalu pendek untuk melihat dan menikmati kepelbagaian budaya unik di sini!

Leave a comment