Macau Madness
SENADO SQUARE
Agenda harian warga Macau seperti membeli-belah, mengunjungi pusat perkhidmatan atau sekadar bersiar-siar banyak tertumpu di sekitarnya. Dikelilingi bangunan berciri neo-klasikal pelbagai warna termasuk Dewan Senat yang bersejarah, Dataran Senado mencuri tumpuan dengan mengambil lokasi antara Avenida Almeida Ribeiro dan Dataran St. Dominigo. Jangan lupa membawa kamera kerana subjek fotografi tidak kehabisan di sini!
RUINS OF ST. PAUL
Hanya beberapa minit pemanduan ke utara dari Dataran Senado, pencinta seni bina tidak boleh melepaskan peluang mengunjungi Tapak Warisan Dunia UNESCO ini. Struktur facade katedral kurun ke-16 ini sarat dengan seni pahatan batu yang menjalinkan perkisahan agama Kristian dengan elemen oriental. Apabila dilimpahi lampu tatkala malam, Saint Paul segera berubah menjadi pemandangan yang gothic dan meremangkan bulu roma.
MACAU TOWER
Nun di unjuran tanah sebelah selatan, Menara Macau mencabar pengunjung yang hendak mencuba aktiviti lasak. Penulis bersama pengacara program Nona terbitan TV3, Nurul Syuhada dan juga teman wartawan i-Kon (Berita Harian), Diyanah Anuar melengkapkan dua daripada empat cabaran ekstrem yang disediakan.
Aktiviti yang boleh dicuba dengan kadar bayaran antara 99 hingga 688 pataca (RM50 hingga RM345) itu adalah SkyWalk (berjalan di pelantar keliling yang bersusur tangan), SkyWalk-X (berjalan di pelantar terbuka tanpa susur tangan), SkyJump (terjunan udara dari ketinggian 233 meter), serta Mast Climb (memanjat struktur menara hingga ke ketinggian maksimum iaitu 338 meter).
Kami bertiga sempat melakukan terjunan udara SkyJump dan kemudian disertai wakil media lain dalam aktiviti SkyWalk-X. Jika anda berkesempatan ke Menara Macau , tambahkan rekod jeritan 'Malaysia Boleh' di sini... hanya untuk mereka yang tidak mempunyai fobia terhadap ketinggian! Pakej ini melayakkan peserta menerima sijil pengiktirafan, kad ahli dan juga baju T eksklusif. (macautower.com.mo)
MACAU FISHERMAN"S WHARF
Sebuah projek mega yang menggabungkan kemudahan kelas pertama untuk hiburan, penginapan, marina, riadah dan rekreasi. Destinasi yang menyokong penganjuran persidangan antarabangsa ini disatukan dengan taman tema. Ia menggabungkan elemen Timur dan Barat bagi menghidupkan gaya persekitaran tanpa sempadan geografi dan zaman.
Lupakan dahulu panggilan ke kasino. Ini kerana kini anda boleh mengembara ke safari Afrika, dunia perdagangan lampau Asia Barat, ke zaman Renaissance Eropah dan juga dalam gaya chic pinggir laut Miami, Amerika Syarikat. 'Sesatkan' diri anda dalam kompleks gergasi dan replika bergaya seperti istana Dinasti Tang, Colosseum, Italian Riviera dan Taman Babylon. (www.fishermanswharf.com.mo)
WARISAN PORTUGIS
Sejak pedagang Portugis mula bertapak sekitar kurun ke-16, hinggalah akhirnya tampuk pentadbiran Macau diserah kembali kepada China pada tahun 1999, banyak pengaruh masyarakat Portugis telah diadaptasi. Selain bahasa Portugis yang mendominasi nama jalan dan bangunan di sekitar Macau , keunggulan seni bina Portugis boleh ditemukan di Muzium Rumah Taipa di Avenida da Praia, Taipa.
Selain seni bina, bidang kulinari juga tidak terkecuali. Jika tidak puas mengisi perut dengan tat telur yang terkenal itu, anda boleh mengunjungi banyak restoran yang menyediakan masakan tradisi Portugis, antaranya Porto Exterior (+853 703276, portoext.com.mo) dan Restaurante Litoral (+853 967878).
* now off to Hong Kong by ferry...



Honey Chen at January 13, 2009 7:10 PM
I thought u spend more time in Shenzhen? U better update more. Im waitingg.
A H Hamzah at January 13, 2009 7:44 PM
Yes, i went to Shenzhen. But that was the second trip to China. i'll upload another entry on that. TQ
shini at February 9, 2009 6:30 PM
Bila ko nak pegi delhi, taj mahal ni?!!!