Menyapa roh Saigon

Berselirat dan celaru. Sama seperti penyambungan kabel elektrik dan telefon di sepanjang pinggir jalannya, begitulah juga perasaan penulis yang baru kali pertama menjejakkan kaki di Ho Chi Minh City (HCMC). Hiruk-pikuk bunyi hon kenderaan atas jalan rayanya yang dua pertiga dipenuhi penunggang motosikal adalah sambutan awal di ibu kota Vietnam ini.

Ya, terdapat enam juta buah motosikal berdaftar kesemuanya. Ia dikatakan akan bertambah setiap tahun berikutan kemasukan motosikal murah yang diimport dari China. Cukup untuk membuatkan seseorang menjadi panik apabila menyeberang jalan, lebih-lebih lagi seperti penulis yang berasal dari negara yang berbeza sisi pemanduan atas jalan raya.

Bukan kadar pertumbuhan ekonomi 8 peratus pada tahun lalu, atau nilai hartanah di District 1 yang melonjak sehingga AS$3,000 semeter persegi yang hendak diperkatakan tentang kehebatan Vietnam dan HCMC. Sebaliknya adalah kisah-kisah patriotisme yang terserap dalam setiap hati rakyatnya sejak generasi terdahulu. Juga kembara mengenali inti pati kota yang pernah dikenali sebagai Saigon ini.

Maafkan sahaja keadaan infrastruktur yang mundur di beberapa kawasan tertentu. Maafkan juga kualiti perkhidmatan oleh barisan depan kaunter yang belum benar-benar mesra melayan  tetamu. Vietnam sebenarnya masih dalam fasa untuk pulih kembali selepas hasrat itu terbantut akibat azab Perang Dunia Ke-2.

Semua itu pastinya bukan masalah jika kedatangan ke HCMC lebih condong kepada agenda mendekati kehidupan sosial, budaya dan ekonominya. Tinjau sahaja di sudut-sudut pinggiran jalan, pasti ada yang menarik pandangan mata dan juga lensa kamera. Penjaja mengayuh basikal tua, wanita penjual manisan tradisi dengan kayu pengandar, gadis manis mengenakan terendak anyaman dan persalinan ao dai yang sopan.

Itulah antara ketenangan yang ditemui kota yang mengabadikan nama ketua pejuang revolusi komunis, Ho Chi Minh (1890-1969). Hari ini, bagi setiap langkah kaki di atas buminya, seolah-olah kita sedang menyapa roh dan semangat generasi terdahulu yang menjadi sebahagian daripada kisah  jatuh bangun sebuah negara yang bakal bergelar Harimau Asia baru.

WARISAN SENI BINA LAMA

Pentadbiran negara dalam gaya 60-an. Itulah yang boleh disaksikan di Reunification Palace (Istana Penyatuan) yang dinamakan pada tahun 1975 sempena bersatunya Vietnam Utara dan Selatan. Sebelum itu, kompleks gergasi berpengaruh Perancis ia merupakan tempat tinggal Presiden Vietnam Selatan. Struktur bangunan kukuh ini tersergam dalam kawasan seluas 20 hektar dan di bahagian bawah tanahnya terdapat banyak bilik-bilik kebal dan juga rangkaian terowong untuk tujuan keselamatan.

Penggemar seni bina Perancis pasti terpesona apabila mengikuti jelajah kota HCMC. Katedral Notre Dame yang dibina pada tahun 1845 ini menyerlah dengan unsur gothic pada setiap sudut binaannya. Gerbang tinggi, ukiran sarat dan kaca jendela yang dramatik mudah dikenal pasti dari luar hingga ke bahagian dalamannya. Berdekatan dengan Katedral Notre Dame adalah Pejabat Pos HCMC yang juga kaya dengan nilai artistik sebuah bangunan bersejarah. Turut menarik untuk dilawati adalah Muzium Peninggalan Perang dan Opera House.

PASAR BEN THANH

Satu lagi lokasi persinggahan dalam senarai wajib pergi. Menyusuri Le Loi Street membawa langkah ke banyak himpunan kedai membentuk kompleks besar. Dikenali dengan nama Ben Thanh Market, ia menjual pelbagai barangan daripada cenderamata, pakaian, tekstil dan fabrik, peralatan rumah, kraf dan juga kopi Vietnam yang terkenal itu. Inilah juga yang membuatkan pelancong wanita (terutamanya gadis dan ibu-ibu dari Malaysia, Singapura dan Brunei) rambang mata dengan variasi pilihan sutera Vietnam yang murah.

Banyak ciri yang membuatkan penulis berasa lega di pasar ini. Berbanding Pasar Chatuchak di Bangkok, Ben Thanh lebih memudahkan urusan (dan pernafasan) kerana adanya pintu masuk yang luas dari pelbagai arah, lorong laluan yang lebar serta siling yang tinggi. Satu sahaja pesanan demi mendapatkan barangan yang dihajati - di sebalik senyuman dan santun untuk memikat pemilik kedai, tawarlah harga seperti anda seorang Viet Cong yang berdarah kering!

DIVERSITI CAO DAI

Destinasi spiritual ini terletak digelar sebagai agama paling pelik di dunia. Sejak tahun 1926, ajaran monotheis Cao Dai menjalar subur di Thay Ninh, daerah yang sejauh tiga jam perjalanan dari HCMC. Menggabungkan pelbagai ajaran agama di dunia, dengan teraju tiganya - Buddha, Tao dan Konfusius. Ia juga mengiktiraf ajaran Saint yang diterbit dari agama Kristian. Tidak hairanlah di dalam kuil ini, patung Jesus Christ turut menempah tempatnya.

Boleh dirumuskan, Cao Dai mengekstrak nilai-nilai terbaik dari setiap agama yang wujud dalam dunia ini. Biarpun pernah diharamkan kerajaan Vietnam kerana bimbang ia membawa jalur sesat, komuniti penganutnya bangkit semula untuk mempertahankan agama mereka. Penganutnya yang berdiet vegetarian ini bersembahyang sebanyak empat kali sehari iaitu pada pukul 6 pagi, 12 tengah hari, 6 petang, 12 tengah malam. Keterbukaan ajaran ini kepada dunia membolehkan pengunjung dari pelbagai kepercayaan masuk ke dalam kuil ketika upacara sembahyang.

"Ada yang mengambil inspirasi Islam?" tanya penulis sengaja menduga. "Ya, ada! Penghormatan terhadap agama Islam bukan sahaja tergaris pada ajaran kebaikan dan . Ia juga terlihat pada seni bina kuil ini. Lihat di sana itu," jawab Xuan Huong, si pemandu pelancong . Lantas penulis melihat ke sisi kuil, deretan gerbang berbentuk kubah jelas kelihatan seperti yang terdapat pada seni bina masjid-masjid kita.

TEROWONG CU CHI

Ini adalah tarikan sebenar ke Vietnam lantaran semakin ramai yang bersetuju bahawa ia adalah antara destinasi pelancongan terbaik dunia yang berasaskan sejarah. Terowong Cu Chi terletak kira-kira 70 kilometer di barat laut HCMC membuka kembali memori hitam generasi Viet Cong yang masih wujud sehingga hari ini. Ia adalah tinggalan kisah perit dan nanah anak bangsa akibat belerang perang seawal tahun 1940 ketika Vietnam di bawah telunjuk Perancis.

Reka bentuk terowong umpama sarang labah-labah ini begitu unik dengan binaan tiga tingkat dengan tingkat paling bawah adalah laluan lepas-lari ke Sungai Saigon. Dalam tempoh 20 tahun, jarak terowong yang disiapkan hanyalah sejauh 48 kilometer. Viet Cong terus membina terowong ini sepanjang era Perang Vietnam bagi menentang Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya dari tahun 1959 hingga 1975. Ini menjadikan panjang keseluruhan terowong yang dibina mencecah 250 km. Difahamkan terdapat di antara 7,000 hingga 8,000 Viet Cong dan keluarga mereka tinggal di dalam terowong sepanjang kemelut perang yang berakhir pada 30 April 1975.

Tetamu Terowong Cu Chi berpeluang mendengar penerangan penuh emosi tentang kesukaran zaman gelap itu, selain mengagumi kebijaksanaan pencetus idea dan fungsi terowong tersebut (ironinya, sehingga kini tidak diketahui siapa). Paling mengujakan dan juga meremangkan bulu roma adalah apabila pengunjung merasai sendiri pengalaman merangkak di dalam salah sebuah rentangan terowong yang sempit, dingin dan mengerikan itu.

Namun waspadalah. Anda sedang 'diintai' oleh roh-roh pejuang Viet Cong yang pernah tewas suatu masa duhulu. Dalam kegelapan itu, apa saja yang terlintas di fikiran akan mengundang histeria klaustrofobik dan jeritan kesal!

MENCARI YANG HALAL

Ramai yang bercakap tentang restoran makanan Melayu, Satay House, suatu ketika dahulu di HCMC. Namun operasinya telah ditutup. Bagi yang rindu pada masakan Melayu, Restoran Empat Musim atau Bon Mua di Thi Sach Street sedia dikunjungi. Meskipun hara hidangan yang perlu dibayar agak mahal sedikit, tiada yang perlu dipertikaikan tentang keaslian rasa masakan daripada air tangan pemilik berketurunan Melayu Champa, Jakiyah Ahmad ini.

Selain Bon Mua, pilihan tempat makan halal bagi pelancong Muslim adalah restoran yang diusahakan oleh warga India. Keenakan menu India Utara boleh didapatkan di Tandoor (Hai Ba Trung Street), Saigon Indian Restaurant (Mac Thi Buoi Street) atau Bombay Indian Restaurant (Dong Du Street). Untuk maklumat tambahan tentang lokasi restoran halal di HCMC dan juga Hanoi, laman web www.zabihah.com boleh dilayari.

INFO:

- Waktu puncak di jalan raya adalah antara 7 hingga 8 pagi dan 5 hingga 6 petang. Elakkan keluar berjalan pada waktu ini jika tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

- Ramai peniaga gerai masih meminta anda membayar dengan mata wang dolar Amerika demi meraih. Oleh itu, anda dinasihatkan menggunakan mata wang Dong Vietnam. Walaupun nilai Dong turun naik di pasaran, gunakan perkiraan mudah ini untuk membantu kawalan bajet anda: RM1 = 4,000 Dong, AS$1 = 16,000.

- Pelancong Muslim lazimnya menginap di hotel seperti Park Hyatt Saigon, Hotel Continental Saigon, Sheraton Saigon dan Caravelle Hotel. Rangkaian hotel Saigon Tourist seperti First Hotel juga ideal dan berpotensi untuk masa akan datang, memandangkan pihak pengurusan mempunyai kesedaran terhadap keperluan tetamu Muslim.

- AirAsia terbang ke HCMC dua kali sehari (7.05 pagi dan 5.40 petang). Layari laman web www.airasia.com.my untuk maklumat lanjut.

user-pic

Van Yen at January 11, 2009 7:50 PM

Thank you. Love the photos.

Leave a comment