Chalet laut Avillion Port Dickson
ENTAH mengapa, antara perkara awal yang sering diberi perhatian ketika menginap di mana-mana bilik hotel atau resort adalah aroma yang dihidu sejurus melangkah masuk. Bagi penulis, itu adalah isyarat pertama yang mewakili kebersihan bilik tersebut.
Kedua adalah kekemasan dan ketegangan cadar yang membaluti tilam yang empuk kerana itu melambangkan komitmen pengemas bilik, sekali gus pihak pengurusannya, dalam memastikan aspek ketelitian dan keselesaan. Seterusnya, barulah penulis menilai kemudahan dan konsep hiasan dalaman secara keseluruhan.
Selain terdapat katil bertiang empat, turut menyertainya adalah sebuah pangkin di tepi jendela yang menghadap laut. Jika mahu menghirup udara luar, ruang anjung juga disediakan dengan sepasang kerusi malas yang mengesyorkan agar detik waktu yang perlahan dinikmati seadanya. Apa yang menarik, unjuran anjung chalet-chalet air itu diatur dalam sudut pintar agar sesi istirehat dapat dilakukan secara privasi.
Di dalam bilik ini, gaya resort diterjemah melalui garapan perabot kayu yang ringkas tapi elegan. Peranan tabir yang diperbuat daripada buluh bukan sekadar pelengkap konsep malah ia memberi kesan pencahayaan santai apabila gulungannya diturunkan pada waktu siang. Bagi mengelakkan gangguan serangga malam, kain jarang yang digantung di keempat-empat penjuru tiang katil boleh dilabuhkan. Secara tidak langsung, gaya berkelambu itu memberi kesan keintiman kepada pasangan yang hendak beradu.
Keputusan bermalam di calet atas air di Avillion Port Dickson baru-baru ini memberi kenangan yang tersendiri. Interpretasi seni bina tradisional kayu telah menghadiahkan penulis dengan aroma tropika yang sesekali berbaur kesegaran laut Selat Melaka. Kedamaian merangsang minda, lebih-lebih lagi apabila melihat cadar putih lembut yang sedia menyambut tubuh penulis yang hendak melepaskan letih perjalanan.
Avillion menyediakan 300 unit penginapan yang terdiri daripada jenis Garden Seaview, Garden Chalet dan juga Water Suite, termasuk 200 unitWater Chalet seperti yang dihuni oleh penulis. Dari pinggir pantai hingga ke jarak 50 meter di atas laut, rantaian calet-calet ini disusun pada tujuh unjuran platform siar konkrit yang disempurnakan dengan kemasan kayu.
Resort yang berlatarkan kehijauan alam semula jadi ini memanjakan tetamunya dengan kemudahan seperti pusat bisnes, kiosk, kolam renang, restoran, bar dan lounge. Lawatan ke ladang haiwan ternakan dan kebun herba dan beberapa lagi kemudahan rekreasi turut menjadi pilihan pengunjung.
Paling menarik, terdapat sebuah gimnasium yang terletak di penghujung salah satu unjuran calet air. Sedikit sebanyak, rasa letih 'beraksi' di atas treadmill dapat dilenyapkan secara psikologi kerana anda seumpama berlari di atas laut yang membiru!
Untuk ke destinasi ini, hanya mengambil masa pemanduan selama satu jam 15 minit dari Kuala Lumpur. Dari selatan Semenanjung pula, hanya tiga jam setengah diperlukan untuk tiba di Avillion. Dengan kadar penginapan chalet bermula dari RM580 semalam, lokasi ini mesti dikunjungi kerana akses yang mudah dan tarikan bernilai tambah bagi sebuah penginapan kelas sederhana mewah.
AVILLION PORT DICKSON
Batu 3, Jalan Pantai, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan.
TEL: 06-647 6688 | FAX: 06-647 7688
WEB: www.avillion-portdickson.com



shannell at July 31, 2009 11:09 AM
I like this place very much...more interesting at end of water challet end finger...
fishing at balcony..n fresh air...wonderful..hope to be there again.. :)
siti humayra binti anwar at December 19, 2011 3:19 PM
kindly give me the info for the Price. T.q