Rendezvous kita di Teluk Buih
KALA melewati jalan masuk ke lokasi terpencil di penghujung sebuah unjuran tanah bernama Teluk Buih, muncul satu pertanyaan. Apakah yang tersembunyi di sebalik laluan kampung yang dipenuhi belukar dan lalang tinggi ini? Kalau sekadar calet biasa, tentu saja hati yang ragu-ragu meminta berpatah balik. Namun, sangkaan itu lenyap sama sekali apabila tiba ke pekarangan Fishing Bay Resort di mukim Air Papan, Mersing, Johor.
Beroperasi dengan standard eksklusif di atas tanah persendirian seluas empat ekar, ia jauh melepasi tanggapan lazim mengenai taraf dan konsep kemudahan penginapan di sekitar daerah itu.
Letih perjalanan dipermudahkan dengan urusan daftar masuk yang pantas dan kemudian tetamu dibenarkan memandu terus kenderaan ke muka pintu calet. Kebenaran itu dianggap satu faktor keistimewaan penginapan!
Sepanjang April, tetamu boleh menginap di sini pada harga RM83 sehari. Harga pada kadar diskaun 30 peratus itu adalah sebagai galakan kedatangan ketika bukan musim puncak. Tawaran yang sama juga diberi sepanjang Julai dan Ogos.
Satu lagi berita baik, pengurus resort, Jamal Nasser Khalid memberitahu penulis tentang harga penginapan: "Kadar penginapan bilik pada musim puncak masih pada harga berpatutan iaitu bermula serendah RM118 sehari. Malah, bagi kedatangan pada hari biasa, tetamu dapat menginap di bilik Standard pada harga RM75 semalaman. Ia bergantung kepada kekosongan bilik."
Setelah dipuaskan dengan kemudahan bilik penginapan yang berhawa dingin dan bertilam empuk, penilaian seterusnya tentu tertumpu pada sambutan selera di kafe. Dapur Fishing Bay Resort menyediakan aneka hidangan tempatan dan Barat. Bagi tempahan untuk kunjungan berkumpulan atau keluarga yang besar, resort boleh dihubungi lebih awal untuk sebarang permintaan khas mengenai makanan yang bakal dihidangkan.
Sebagai tarikan baru, peminat kulinari eksotik tentunya dapat merasai sentuhan chef berpengalaman yang turut menyediakan menu lazat dari Thailand. Kalau matahari menghangatkan tubuh pada waktu siang saat berjemur di pantai, tentu sekali rempah tom yam menghangatkan malam yang dingin!
Mahukan suntikan adrenalin? Antara aktiviti yang menanti adalah seperti berbasikal, memanah, memancing, sukan pantai, mendaki bukit dan merentas hutan. Sesi bersembang atau berekreasi di atas halaman rumput yang luas pula sudah cukup memeriahkan detik percutian.
Sebenarnya ramai yang memilih untuk menghabiskan masa hanya dengan membaca novel di kerusi santai, duduk di bawah redup pohon sambil menikmati tiupan bayu Laut China Selatan ataupun sekadar berehat di kamar beradu. Ya, mereka ke sini untuk beristirehat, itulah yang dicari.
Nyata sekali TravelRhapsody.com memilih untuk ke resort ini kerana digoda tiga sebab. Pertama kerana ketenangan persekitaran yang indah dan tenteram. Kedua kerana penekanan aspek kualiti dan kebersihan. Ketiga, semestinya kerana lokasi yang terpencil dan privasi.
Apabila jam tangan, telefon bimbit dan kemudahan Internet bukan lagi keutamaan, resort ini memang sempurna untuk 'menghilangkan' diri daripada dicari teman-teman ataupun diganggu panggilan tugas dari pejabat.
Promosi bulan madu:Penginapan di bilik Superior selama 2 hari 1 malam pada harga RM380. Pakej ini disertai pemberian bakul buah-buahan, makan tengah hari di pinggir pantai, sarapan di kamar, makan malam romantis dan juga sesi berurut.
FISHING BAY RESORT
Lot 525, Teluk Buih, Air Papan, 86800 Mersing, Johor.
Tel: 07-222 5300, 07-799 6753 Faks: 07- 799 7102
Web: www.fishingbayresort.com



Fared Lee at April 20, 2009 11:45 AM
hmmm... such a potential for my hide-out.. i'll give it a try!
Ayu at January 18, 2010 12:24 PM
Hi,please advise me how much doest it cost for 1 dbl room.
Any availability for check on 12-14feb?
Lynda Eunos at February 22, 2010 8:00 PM
Dear Ayu, I am the Corporate Manager from Fishing Bay Resort. Kindly call me at 012-716 6753 or email me at lyndaeunos@gmail.com for your enquiries. Am so sorry for such delay in reply as i only looked at this blog only today. FYI, our 13th to 16th February was fully booked since a month ago. It's best to plan your holidays especially during public holidays. Looking forward to hearing from you. Have a pleasant day ahead
asiah at February 27, 2010 1:47 PM
i'am planning to go holiday there can i know standard room rate and on 27.3.2010 still available.pls reply asap
A.H. Hamzah at February 27, 2010 7:12 PM
Dear asiah,
Aside from log in to it's website as mentioned in the article, please call the Corporate Manager, Lynda Eunos, as appeared on the comment above yours. She will guide through all your enquiries about the resort. Thank you...
Ellyeana at April 13, 2010 4:41 PM
Nk stay 1/05/2010, agak2 ader kosong lg x?
Rate berape ek?