Pemenggal kepala terakhir
MENYUSURI Sungai Lemanak dengan perahu sudah memberi imbasan yang cukup tentang jantung yang pernah berdegup kencang suatu ketika dahulu di lokasi yang sama. Lebih-lebih lagi semua itu dirasai apabila perasaan tegang, gentar dan waspada didesak menjadi satu.
Berbagai-bagai gambaran kematian bermain di kepala - ditusuk tombak, dipanah, atau diserang dengan belati secara berdepan. Ia diakhiri dengan mangsa disembelih atau ditetak pada tengkuk mereka hingga bercerai kepala dari tubuh.
Ya, perkara sedahsyat itu pernah dialami generasi lelaki di banyak petempatan terpencil di sepanjang Sungai Lemanak. Mereka yang suatu ketika dahulu setia pada ritual yang satu ini - memenggal kepala!
Mendengar khabar tentang pahlawan pemenggal kepala sahaja sudah boleh membuatkan sesiapa menggeletar lutut. Namun, oleh kerana penceritaan kisah itu jugalah perjalanan ke kawasan pedalaman Lubuk Antu, Sarawak ini dibuat.
Ia dipacu semangat ingin tahu kumpulan jurufoto Candid Syndrome yang diketuai oleh Saiful Nang. Diiringi kerjasama pemandu pelancong Borneo Explorations, Roslan Rosli, kunjungan ke Rumah Panjang Nanga Kesit adalah untuk mendekati komuniti yang suatu ketika dahulu mendabik dada dengan kehebatan pahlawan yang dibesarkan di situ.
Biarpun disambut dengan kerancakan tarian Ngajat dan tuak manis, kebanyakan tetamu lebih teruja untuk mengetahui cerita gugus tengkorak yang dilihat bergantungan di ruai rumah panjang itu. Umpama trofi yang dimenangi dalam sebuah perlawanan, ia seolah-olah mengangkat darjat kaum keluarga yang berteduh di bawah satu bumbung.
Peserta lawatan dipertemukan dengan figura penting di rumah panjang tersebut. Surin yang senang dipanggil apai (pak cik) berketinggian sederhana dengan tubuh yang masih sihat. Di sebalik kedut wajah dan kompilasi tatu pahlawan yang mencorakkan kulit tubuhnya, ramai menyedari betapa lelaki Iban ini menyimpan banyak kisah hidup.
"Surin mungkin boleh mengingati banyak perkara, tetapi tidak usianya. Dalam congakan kami, Surin mungkin sudah mencapai usia 92 tahun," kata Roslan yang mengulas dakwaan Surin yang mengatakan usianya dalam lingkungan 70-an.
Surin merupakan antara legenda yang masih hidup untuk bercerita kepada generasi baru tentang kegemilangan pemenggal kepala dahulukala. Malah beliau mendakwa telah memenggal lima kepala sepanjang hayatnya sebelum ritual itu diharamkan semasa penubuhan Malaya di bawah pemerintahan Brooke.
"Ada pahlawan yang pulang dengan perahu panjang ini dengan membawa kepala musuhnya. Ada juga yang pulang dengan tubuh badan yang cedera, lebam, berdarah dan sebagainya - tetapi turut membawa kepala musuh yang sudah dipenggal," ujar Surin dalam campuran bahasa Melayu dan Iban kepada tetamu yang tekun mendengar.
Lelaki yang pernah berkhidmat dengan Sarawak Rangers sekitar tahun 50-an ini menyambung: "Jika perahu ini tidak kembali dalam tempoh tertentu selepas meninggalkan kampung, kami sudah tahu bahawa pahlawan mereka itu tidak akan kembali."
Korban juga tidak kenal darah daging sendiri. Begitulah yang boleh disimpulkan ketika rahsia silam Surin 'dibocorkan' kepada tetamu yang hadir. Antara beberapa tengkorak yang tergantung dalam rumah panjang itu adalah milik abang Surin sendiri!
Surin memenggal kepala abangnya itu di depan keluarga mereka. Tindakan itu dilakukan setelah mengetahui bahawa abangnya itu menjadi tali barut yang sering menyampaikan maklumat untuk pihak Jepun dan British.
Banyak analisis menarik tentang amalan memenggal kepala ini. Selain aspek ritual, ia turut didorong ketaksuban mengawal kawasan kediaman daripada diceroboh. Ia juga boleh terjadi kerana perbalahan antara penduduk kampung atau sekadar berebut status pahlawan terhebat suatu ketika dahulu.
Surin dan teman-teman seusia dengannya kini sudah tidak lagi bercita-cita seperti itu sejak ritual itu lenyap bersama gelombang masa dan arus undang-undang. Namun, dalam melayar sisa hayat di Nanga Kesit, apai-apai ini mungkin sekali-sekala teringat akan tenaga dan 'lesen' istimewa itu sewaktu mereka semuda umur 20-an dulu.
Sebagaimana tradisi yang berubah, begitu juga dengan kehidupan di Rumah Panjang Nanga Kesit. Rumah itu kini sudah dilengkapi bekalan elektrik dan dapur gas. Jangan terkejut jika diberitahu bahawa akses jalur lebar boleh ditemukan di kediaman Tuai Rumah.
Turut difahamkan, bagi tetamu yang hendak menyediakan makanan halal, mereka perlu membawa ayam atau daging untuk dimasak sendiri. Nasi pun tidak lagi ditanak dalam batang buluh.
"Rumah ini terus berjasa kerana memberi perlindungan untuk generasi keempat. Ia menempatkan 24 buah keluarga, tidak termasuk 17 buah keluarga lagi yang tinggal dalam rumah binaan konkrit berdekatan dengan rumah panjang tersebut," terang Roslan.
Lebih menarik, lokasi Nanga Kesit adalah hampir dengan sempadan Kalimantan. Anak-anak di sini lebih fasih berbahasa Indonesia dan juga menyanyikan lagu-lagu popular dari Indonesia. Kemudahan asas komuniti seperti sekolah, klinik dan kedai sudah boleh ditemukan melalui rangkaian jalan perhubungan yang dibangunkan kerajaan dari semasa ke semasa.
"Kehidupan waris pahlawan pemenggal kepala sekarang adalah seperti masyarakat etnik lain. Mana yang masih tinggal di rumah panjang, mereka menguruskan ekonomi sara diri dengan bercucuk tanam, menternak haiwan dan menjual hasil hutan," ulas Joni, seorang bapa dalam salah sebuah keluarga di rumah itu.
Menurutnya, ada yang berhijrah ke pekan dan bandar untuk mendapatkan kerja dan memulakan hidup yang baru. Pendedahan dan perkahwinan campur juga telah membuka jalan kepada budaya dan anutan agama baru.
"Ramai anak-anak kami yang sudah berjaya. Mereka bersekolah hingga ke universiti dan kini berkhidmat untuk masyarakat dan negara," tambahnya.
Masa depan generasi etnik istimewa ini kini terletak dalam tangan anak-anak mereka yang sudah didedahkan dengan kemajuan dan pendidikan.
Biarpun ritual memenggal kepala hanya sebahagian daripada sejarah dan sudah lebih 50 tahun lenyap daripada menjadi kelaziman di bumi mereka, jangan sesekali ada yang ingin mencabar kewibawaan dan semangat waris pahlawan unggul ini!



Peter Francis at April 30, 2011 6:01 PM
Foto-foto ini membuatkan saya rasa rindu sangat dengan ahli keluarga, kawan-kawan kat kampung, di Kampung Sg Enseluai, Sare, Sarikei. Teringat masa belajar kat sekolah rendah yag kini dikenali SRK Saint Andrew. Lepas habis waktu persekolahan, balik umah panjang terus tukar baju semua, pas g ambik joran g memancing dengan kawan-kawan.